Thursday, 20 May 2010

GURU OH GURU, CIKGU OH CIKGU... bahagian 1


Saban tahun kita di Malaysia kita menyambut Hari Guru. Tarikh 16 Mei menjadi pilihan untuk sambutan Hari Guru khusus untuk mengingati sagala budi dan jasa guru dalam mendidik kita. Apapun bagi penulis, istilah ‘guru’ yang digunakan bermakna lebih kepada pendidik yang menjalankan tugas bukan sahaja mengajar tapi juga mendidik seseorang. Oleh itu sambutan hari guru sebenarnya, skopnya bukan hanya bertumpu kepada cikgu – cikgu yang berada di sekolah rendah atau menengah, tapi lebih terbuka ditujukan kepada semua mereka yang pernah memberikan ilmu, tidak kira apa sahaja ilmu, kepada kita sama ada secara formal atau tidak formal, secara langsung ataupun tidak langsung.

Tahun 2010, sambutan kali ke-39 diraikan di negara bertuah ini. Sambutan Hari Guru bermula 1972 dengan tema: ''Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara'' dan pada tahun 2010 temanya ''Guru Pembina Negara Bangsa''. (4)

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran negara. Dokumen yang dikenali sebagai Laporan Razak itu kemudiannya menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan. (5)

Setiap orang, tidak kira siapapun orang itu pada ketika ini, pasti pernah diajarkan atau dididik oleh sekumpulan pengajar atau kita panggil guru. Bermula dari tidak tahu membaca dan menulis sehinggalah berjaya menjadi seseorang yang berguna dalam masyarakat, kita perlukan bimbingan dan tunjuk ajar seorang guru.

JASA guru tidak ternilai dengan wang ringgit. Tingginya martabat mereka yang sanggup berkorban apa saja, hatta masa, tenaga dan wang, membuatkan jasa mereka dikenang sehingga ke akhir hayat. Bak kata orang, harta dan wang boleh habis sekelip mata, tetapi ilmu yang diajar seorang guru kekal selama-lamanya.

Sama juga dengan diri penulis, dulu penulis sebagai seorang murid, pelajar dan mahasiswa dan kini penulis ‘kembali semula ke sekolah’ menjadi seorang pendidik iaitu guru. Cita – cita dulu kalau ditanya memang ada hati hendak jadi pensyarah sebab terdorong dengan pekerjaan ayah penulis yang juga merupakan seorang yang terlibat dengan bidang pendidikan iaitu pengajar bahagian mekanikal. Apapun kerjaya penulis juga ditakdirkan menceburi bidang pendidikan, akhirnya ditakdirkan penulis, walaupun bukan sebagai pensyarah tetapi sebagai guru sekolah.

Jika direnung kembali akan Falsafah Pendidikan Kebangsaan...

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti. Namun itulah yang dipikul oleh seseorang yang bergelar guru atau pendidik. Falsafah ini menjadi pegangan, menjadi pembakar semangat untuk berusaha gigih dan komitmen spenuhnya bagi melahirkan insan yang gemilang dalam segala aspek kehidupan.

Daripada bacaan penulis, merujuk istilah Arab, seorang guru itu hasil daripada gabungan lima eleman penting membabitkan muallim, murabbi, mursyid, muaddib dan mudarris.

Muallim bermaksud orang yang menjayakan proses menyampaikan ilmu, murabbi pula orang yang menjayakan tarbiyah, mursyid orang yang membimbing, menentukan kehidupan dan nilai yang betul, muaddib orang yang menjayakan adab manakala mudarris orang yang mengajar mata pelajaran. (1)

Pada pendapat penulis, tugas utama seorang guru atau pendidik adalah mendidik, mengajar dan memimpin.

GURU ITU MENGAJAR ILMU


Tugas utama ialah mengajar matapelajaran yang diamanahkan. Namun jika suatu ketika dahulu, pencapaian gred amat dititikberatkan sebagai matlamat mencapai cemerlang. Namun kini, atas keperluan masa kini, guru perlu bijak mengajar ilmu dan juga menghubungkaitkan dengan kehidupan dan juga menerapkan nilai – nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran.

Guru perlu sentiasa mencari jalan menambah dan mengembangkan ilmu yang ada dan kemudian menyebarkannya agar memberi manfaat kepada sesiapa yang memperolehinya. Seseorang yang berilmu, darjatnya amat tinggi di sisi Allah. Allah berfirman maksudnya :
Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu pengetahuan di antara kamu dengan beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Majadalah: 1) (1)

Islam sebagai agama yang mementingkan ilmu pengetahuan memandang tinggi martabat seorang pendidik. Rasulullah SAW sendiri sudah membuktikan pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam.

Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda sendiri berperanan mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi yang diterimanya.

Firman Allah yang bermaksud :
"Dialah (Allah) yang mengutuskan daripada kalangan orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata." (Surah al-Jumu'ah, ayat 2)

Selain itu, Baginda SAW juga mengambil inisiatif dengan menghantar Mus'ab ibn 'Umair ke bumi Yathrib (Madinah) dengan tujuan mengajar al-Quran dan ilmu asas berkaitan Islam kepada masyarakat Arab yang baru memeluk Islam pada ketika itu. (14)

Inilah antara peranan penting pendidik dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islamiah dengan cara lebih berkesan. Secara tidak langsung, sebenarnya Rasulullah SAW turut menggesa umatnya menjadi pendidik menerusi sabdanya yang bermaksud :
"Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat." (Hadis riwayat Bukhari)

Saidina Ali pernah berkata :
"Jadilah orang yang mencurahkan ilmu atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang suka mendengar ilmu atau orang yang cintakan ilmu dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa." (14)

Segala amal bakti seorang guru menyampaikan ilmu bermanfaat kepada anak didik akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi.

Firman Allah yang bermaksud :
"Dan (ingatlah), apa juga kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya." (Surah al-Muzammil, ayat 20)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim) (14)

GURU ITU MENDIDIK


# Guru berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, juga kepada kumpulan di bawah bimbingan mereka termasuk dalam hal menjaga hubungan dengan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud :
Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ahli ilmu.” (Surah Faathir, ayat 28)

Firman Allah lagi yang bermaksud :
Wahai orang beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikan sedikit ruang pada majlis, maka berikan ruang, nescaya Allah akan memperluaskan ruang untuk kamu. Allah mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah) Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa saja yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11) (2)

# Guru juga berperanan sebagai ibu bapa

Guru secara tidak langsung akan memainkan peranan ibu bapa seperti mendoakan kejayaan anak muridnya, memberi galakan dan motivasi dalam pembelajaran, mengingatkan dan memberi nasihat tentang perkara – perkara yang baik dan buruk, menegur anak – anak murid jika melakukan kesalahan dan menerangkan perkara yang patut dilakukan, memberi puji – pujian dan kata – kata peransang, lebih menghabiskan masa berjumpa dan berbincang dengan anak murid tentang permasalahan yang mungkin timbul dan lain – lain lagi.

Oleh itu guru boleh dianggap sebagai ibu bapa ‘kedua’ apabila berada di sekolah kerana guru bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelajar, lebih – lebih perkara yang berkaitan keselamatan.

# Gurulah kaunselor yang menjadi tempat rujuk pelajar merungkai persoalan dan masalah.

Guru bertindak sebagai pendengar yang aktif sekiranya terdapat pelajar yang datang untuk menceritakan atau berkongsi masalah. Guru kemudian cuba memahami dan kemudian mencadangkan beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan pilihan oleh pelajar tersebut. Keputusan mutlak terletak kepada pelajar itu sendiri setelah berlaku perbincangan baik dan buruk sesuatu langkah yang bakal diambil.

Segala kekeliruan dan persoalan guru perlu menjawab dengan ikhlas dan jujur. Jawapan yang diberikan bergantung kepada ilmu pengetahuan yang kita ada. Sekiranya tidak pasti dengan jawapan, tidak salah untuk mengatakan bahawa kita tidak mempunyai cukup pengetahuan mengenai sesuatu perkara, namun ia perlu disusuli dengan cadangan yang mana boleh pelajar tersebut membuat rujukan atau memperoleh jawapan. Jujur pada diri untuk mengelak kecewa dan ketidakpuasan hati. Ingat, segala jawapan yang diberikan kepada pelajar adalah ilmu yang mungkin ‘menyesatkan’ pelajar berkenaan.

# Guru itu pembimbing

Guru bertindak sebagai muaddib dan pembimbing. Guru bertanggungjawab menyelia dan mengawal disiplin, penyubur sifat terpuji dan mementingkan kerohanian anak-anak didik sendiri. (16)

Disiplin amat dipentingkan dalam pendidikan dahulu. Disiplin bermakna mengikut peraturan yang ditetapkan. Pendidikan sekarang berkonsepkan kaunseling.

Kaunseling bermakna 'membimbing'. Membimbing anak bangsa kita dengan semangat (sifat) yang baik. Bila digabungkan disiplin dengan bimbingan, sepatutnya kita akan membuahkan manusia yang berbudi pekerti mulia dan berpelajaran tinggi. Adalah wajar tiap-tiap diri guru sekarang menjadi dan sanggup bertindak sebagai guru disiplin dan kaunseling. (4)

Nilai Kasih Sayang dalam Mendidik

Mengamalkan elemen dan nilai kasih sayang dalam hubungan guru-pelajar dalam mendidik. Selain itu, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.

Elemen kasih sayang ini boleh dilaksanakan dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Serta sentiasa menggunakan lebih ‘kelembutan’ berbanding ‘kekasaran’. Selain itu dalam melaksanakan sesuatu pengajaran dan pembelajaran, permudahkanlah kaedah dan cara agar murid mudah memahami apa yang dipelajari dan gembira mendapat ilmu daripada guru.

1) Pujian Guru kepada Pelajar

Pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar boleh membuatkan pelajar rasa seperti segala apa yang dilaksanakan dihargai dan boleh membantu pelajar lebih bersemangat. Menggalakkan pelajar melaksanakan sesuatu perkara dengan baik, betul dan bersungguh - sungguh.

Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.

Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah, malah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.

Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.

Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati. Dan antara perkara yang boleh diingati ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru yang diberikan kepada pelajarnya yang mana pujian ini banyak membina semangat dan keinginan pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran.

Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.

Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif.

Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.

Pujian diberikan sejurus selepas pelajar melakukan perkara yang baik. Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya.

Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.

Pujian secara umum atau generalisasi dilihat tidak berkesan. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini".

Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik.

Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.

Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar.

Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".

Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan. Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".

Seterusnya ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar.

Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya di ikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).

Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya.

Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.

Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif.

Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.

Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh berbanding gembira bila mereka dipuji.

Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu. Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru.

Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.

Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka. (6)

2) Guru dituntut Mempermudahkan Segala Urusan dan Menyampaikan Khabar Gembira

Lihat pada hadis berikut ini.
ABU Burdah berkata : "Rasulullah mengutus ayahku, Abu Musa dan Muaz ke Yaman. Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan bersedia sekatalah kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam menyampaikan ilmu ada tatacara yang perlu diamalkan supaya segala apa disampaikan menjadi ikutan. Antaranya, kita dilarang daripada menyukarkan manusia melakukan ketaatan kepada Allah.

Nabi SAW juga menyuruh kita menggembirakan manusia bukan menjadikan mereka berasa benci dengan ajaran disampaikan. Oleh itu, kita hendaklah mendahulukan perkara menyedarkan manusia dan membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan.

Jangan sekali-kali kita memberatkan dengan perkara berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat daripada agama dan kebenaran. Sebaliknya, jinakkan hati mereka dengan bertindak secara berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui peringkat serta tahap tertentu bukan bersifat drastik atau melulu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Islam adalah agama mudah dan senang diamalkan setiap golongan. Oleh itu, hendaklah ia dipermudahkan dan janganlah dijadikan sebagai bebanan dalam menyampaikan sesuatu ilmu.

Umat Islam hendaklah sentiasa menyampaikan perkhabaran yang menggembirakan dan janganlah menimbulkan perkara membawa kepada kesulitan hidup. (9)

3) Guru dituntut Bersikap Lemah Lembut, sentiasa Sabar

Firman Allah yang bermaksud :
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahl, ayat 125)

Justeru, guru perlu mempunyai sifat lemah lembut dan sentiasa menghiasi diri dengan sifat sabar walaupun terpaksa berdepan mereka yang menentang kerana mendidik melalui contoh yang baik adalah lebih berkesan.

Kewajipan sentiasa berlemah lembut turut ditekankan Rasulullah SAW dalam apa hal kerana kebajikan diharamkan bagi mereka yang tidak mempunyai sifat lemah lembut. Sabda Baginda yang bermaksud :
Barang siapa yang tidak memiliki sifat lemah lembut, maka diharamkan seluruh kebaikan bagi dirinya.” (Hadis riwayat Imam Muslim) (9)

GURU ITU MEMIMPIN


# Guru sebagai Pemimpin

Khidmat guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan saja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara, malah membuka peluang kepada guru meraih keberkatan serta reda Allah.

Sesungguhnya, amanah menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab yang dipersoalkan pada akhirat kelak. Rasulullah SAw bersabda yang bermaksud :
Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu juga bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi) (2)

Segala ilmu disampaikan guru kepada pelajar akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat. Di sini peranan guru meningkatkan usaha serta kreativiti supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan.

Kecemerlangan pendidikan tidak boleh dilihat dari sudut akademik semata-mata. Dalam proses pembelajaran, para pelajar didedahkan juga dengan nilai-nilai kepemimpinan misalnya, yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat maju. Ini hanya akan berlaku jika guru itu ada kepimpinan. Guru bukan setakat guru di dalam bilik darjah, mereka juga pemimpin dalam bilik darjah. Mereka boleh memimpin para pelajar dalam sistem moral, akhlak, kreativiti, daya usaha. Kesemua ini bergantung kepada guru sendiri. Sebab itu dalam sistem pendidikan kita, kita tekankan kokurikulum supaya pelajar dapat dinilai dari sudut sikap untuk menjadi kreatif dan ada semangat tambah nilai kepada usaha pelajar di samping kemahiran tambahan. (15)

# Guru ialah Ejen kepada Keberkesanan Pendidikan.

Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya jadi contoh berkesan. (2)

Guru bertindak sebagai penunjuk pandu. Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada golongan guru bagi memberi didikan semaksimum mungkin kepada anak-anak mereka. Potensi diri seseorang yang telah memilih kerjaya sebagai seorang guru sebenarnya mampu menjelmakan hasrat murni tersebut tetapi perlulah dilampir dengan dengan keikhlasan dan iltizam yang ampuh. (16)

Guru sebagai manusia biasa. Sanjungan dan tingginya harapan seluruh komuniti masyarakat terhadap guru tetap tidak dapat merubah hakikat diri bahawa guru juga adalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan atau keterlanjuran. (16)

# Guru adalah sebagai Idola, Membina Sahsiah dan Nilai Manusia terhadap orang di bawah pimpinan.

Guru sebagai idola para pelajar. Guru perlu sentiasa bertingkah laku sopan, bersifat intelek, ini kerana pada mata masyarakat, guru sebenarnya dianggap golongan cendekiawan yang berkemampuan membawa reformasi mental dalam kehidupan seharian. (16)

Guru sebagai ‘qudwah hasanah’ (contoh terbaik) kepada masyarakat. Setiap sifat, gerak-geri, tingkah laku, tutur kata, tata cara hidup selalunya menjadi ikutan oleh pelajar dan masyarakat sekeliling. Justeru, guru mesti berwibawa dan dapat memberi contoh yang baik dalam semua hal. (1)

Guru perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi pelajar dalam pembentukan sahsiah mereka. Contoh teladan pendidik ini yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Mereka yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat kurang menghargai watak yang berbudi luhur. (2)

Guru perlu sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku supaya dapat menjadi ikutan terbaik kepada generasi muda. Guru harus sedar setiap tingkah laku mereka sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Jangan sesekali bercakap sesuatu yang tidak pernah dilakukan. Sesungguhnya balasan Allah amat berat bagi mereka yang tidak melakukan apa yang diperkatakan.

Firman Allah yang bermaksud :
"Wahai orang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah as-Saf, ayat 2-3)

Hakikatnya, jika guru tidak menjaga maruah dan perilaku, mereka merendahkan fungsi dan martabat sendiri pada mata masyarakat, seterusnya mengabaikan amanah Allah bagi melahirkan umat yang terbaik menerusi ilmu pengetahuan. (14)

Impak guru dalam kehidupan kita cukup besar termasuk dalam membentuk personaliti dan keperibadian.

# GURU JUGA SEBAGAI PEMBINA NEGARA BANGSA


Guru mempunyai peranan dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Peranan guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat. (2)

Guru melalui pendidikan, boleh membentuk bangsa yang bersatu padu dan bangsa yang mampu memahami aspirasi negara seterusnya membawa Malaysia ke mercu lebih gemilang pada masa depan. Kita melihat pentingnya guru dalam membentuk generasi lebih seimbang.

Masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Guru juga bertanggungjawab membimbing anak kita untuk terus menjadi manusia sempurna, insan kamil yang sekali gus dapat mewarisi usaha membangunkan negara. (13)

Kepelbagaian kaum dan keturunan yang kita kenali sebagai masyarakat majmuk di negara ini membentuk keistimewaan tersendiri selain bersatu padu dan mempunyai impian sama dalam memajukan negara. Menerusi sistem pendidikan negara, antara matlamat utama ialah membentuk rumpun bangsa. Kepelbagaian bangsa dan bahasa itu bukan satu kekangan, sebaliknya kekuatan dan tambah nilai dalam membentuk satu bangsa yang kuat. Pembentukan perpaduan serta toleransi bermula pada peringkat sekolah. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan di kalangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan. (13)

Secara ringkasnya, guru – guru berperanan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jati diri murid. (5)

Guru bukan saja menyampaikan ilmu dalam kelas, sebaliknya guru juga membawa pengaruh sosial, membentuk ciri kepemimpinan, personaliti dan meniup inspirasi mendorong pelajar mencipta kejayaan, baik dalam aspek akademik mahupun insan seimbang.

Artikel berkaitan : GURU OH GURU, CIKGU OH CIKGU... bahagian 2

No comments:

Post a Comment