Thursday, 20 May 2010

GURU OH GURU, CIKGU OH CIKGU... bahagian 2

JASMANI, EMOSI, ROHANI DAN INTELEK SEORANG GURU


# Sifat – sifat mulia pada seorang guru
Menjadi guru itu adalah satu tugas mulia dalam mendidik pelajar. Oleh itu sifat – sifat yang perlu ada untuk mendidik dengan penuh kesungguhan dan berkesan, seorang guru perlu meningkatkan kesabaran, bersemangat teguh, ketajaman fikiran dan mampu mengendalikan setiap pelajar dengan berkesan.

Semua insan bergelar guru perlulah menjelmakan ketekunan sebagai pendidik cemerlang dengan iltizam yang lebih tinggi. Selain itu, sifat jujur dan ikhlas Keutuhan peribadi, luas pengetahuan, kreatif dan berkemahiran, bijak berkominukasi, kerja berkualiti dan prestasi yang tidak pernah statik. (16)

Guru itu sendiri perlu juga menjalankan kerja dengan keikhlasan dan sentiasa berfikiran terbuka (10)

# Minat mendalam dalam mendidik dan mengajar

Memohon untuk menjadi guru adalah kerana betul-betul kerana minat dalam bidang itu dan benar-benar dedikasi menjadikan guru sebagai profesion dan bukan sebagai pilihan terakhir. Ini kerana guru adalah profesion mulia yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Sebagai pembimbing dan pendidik guru sentiasa dipandang hormat oleh masyarakat. Jadi atas dasar itu mereka yang mahu berkhidmat sebagai guru mesti menjadi guru profesional. Guru bukan seperti penjawat awam yang lain kerana mereka adalah pembimbing, pembentuk akhlak dan sahsiah, jadi mereka mesti komited sebab itu kita perlukan guru yang benar-benar mementingkan profesion. (15)

# Guru perlu ada rasa bangga dengan profesionnya sendiri

Apa yang pasti, hanya guru yang bangga dengan tugasnya dapat melaksanakan sesuatu kerja itu dalam apa juga keadaan atau persekitaran dengan baik. Apatah lagi, perkhidmatan yang diberikan itu begitu mulia dan bukan calang orang dapat melaksanakannya. Oleh itu, berbanggalah dengan kerja anda. (8)

Menetapkan di dalam hati menjadi guru kepada pelajar adalah perkara terbaik yang dilakukan dalam kehidupan dan kerjaya menjadi guru itu adalah satu tugas yang amat mulia.

# Dedikasi dan pengorbanan guru

Jika seseorang guru itu benar-benar dedikasi mereka tidak akan melihat tugas selain dari mengajar dan mendidik sebagai satu beban. Istilah beban itu sesuatu yang tidak disukai, kalau dia minat walaupun tugas itu berat, saya fikir dia bersedia untuk berkorban. Konsep pengorbanan dalam profesion perguruan penting juga dan ada guru-guru sanggup datang ke sekolah tanpa disuruh oleh guru besar untuk melaksanakan tugas membimbing pelajar. Ini menunjukkan bahawa guru ini mempunyai komitmen yang jauh lebih tinggi dan sanggup datang ke sekolah dan mengadakan tuisyen tanpa diminta oleh ibu bapa. (15)

# Guru perlu mempunyai pemikiran positif dan bersih

Dalam guru sebagai rakan sejawat. Hubungan sesama guru adalah adalah dalam konteks suatu rumpun keluarga di bawah satu bumbung ilmu. Sebagai akar dan umbi yang saling bertaut, kerjaya seorang pendidikan tidak seharusnya diselaputi syak wasangka, pentingkan diri sendiri, pesimis atau saling salah menyalahkan antara satu sama lain. (16)

# Kepuasan bekerja untuk memberi manfaat kepada orang lain

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan paling disukai Allah ialah menggembirakan hati orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar." (Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya)

Ini menunjukkan pandangan hidup Islam sendiri, berbuat baik dan memberikan keselesaan kepada orang lain sangat dituntut dan akan mendapat balasan baik. Tugas yang dilaksanakan iaitu memberi perkhidmatan kepada orang ramai adalah satu tugas mulia. Seharusnya, mereka bukan saja berusaha memuaskan hati orang lain tetapi lebih penting adalah mendapatkan kenikmatan sendiri daripada tugas yang berjaya dilaksanakan dengan baik. (8)

# Setiap guru mesti bersedia menghadapi cabaran mendatang.

Cabaran yang mendatang sama ada daripada murid, ibu bapa atau ahli masyarakat pelbagai lapisan dengan tabah, profesional, beretika dan jujur serta penuh berakauntabiliti. Dengan itu guru sudah menjunjung profesionnya ke tahap tinggi. (7)

# Sentiasa mengukuhkan azam untuk meningkatkan prestasi menjadi guru berkualiti

Guru-guru perlu berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dalam diri murid-murid. (5)

Guru-guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang bermutu setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. (5)

Guru sentiasa mencari peluang untuk menambah ilmu, mendapatkan kemahiran dan kursus motivasi agar mereka peka tentang tugas dan tanggungjawab dan kecintaan mereka terhadap profesion ini, seperti mengikuti latihan dalam perkhidmatan anjuran institusi pendidikan. (12)

Penambahan ilmu dan kemahiran ini boleh membantu dalam membentuk diri kita menjadi guru yang berkualiti.

Guru sentiasa perlu menaik taraf diri menjadi guru berkualiti, kerana guru berkualiti menjamin ‘kemenjadian’ pelajar dari segi prestasi dan sahsiah.

Kemenjadian adalah ‘outcome’ yakni kita menekankan tentang pencapaian, hasilnya bukan ‘output’. Misalnya kita latih seratus orang kita keluarkan seratus orang tetapi ‘outcome’ ataupun kesannya adalah kepada pelajar. Kalau guru itu berkualiti maka pelajar akan menjadi insan yang kamil dan cemerlang. (12)

Ciri – ciri guru berkualiti berdasarkan Standard Guru Malaysia (SGM).

SGM menekankan tiga standard yang harus menjadi pegangan bagi guru iaitu amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran (P&P). (12)

# Guru harus mempunyai semangat dan daya juang tinggi.

Tidak ada sikap tidak boleh, tidak yakin, tiada masa, tiada kemahiran dan sebagainya. Ciri guru yang lebih berdaya saing ialah mempunyai keyakinan diri, kemahiran terkini, masa yang mencukupi, kreatif dan inovatif, menolak segala alasan dan menerima segala cabaran. Hal ini bertepatan ungkapan “Teachers open the door. You enter by yourself”, yang bermaksud, guru sedia memberi segala ilmu yang ada dan terpulang pelajar mencorakkan keadaan yang akan datang. (7)

Guru mengerti usaha mendidik dan membangunkan insan bukan mudah. Meskipun begitu, semangat mereka tidak pernah luntur malah terus berusaha menyusun langkah meneruskan perjuangan demi memikul amanah Allah.

# Niat dan Kesungguhan seorang Guru

Keberkesanan penyampaian ilmu oleh guru bergantung kepada sejauh mana kesungguhan dan niatnya yang baik.
Islam sentiasa memberi panduan kepada para guru agar memperkasa dan memperbaiki diri agar menjadi golongan pendidik yang betul-betul memenuhi tuntutan seperti yang difirmankan oleh Allah SWT menerusi ayat 122 surah at-Taubah yang bermaksud :
Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan (di kalangan umat Islam) di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya (masyarakat) apabila mereka telah kembali ke pangkuan mereka, supaya mereka (masyarakat) itu lebih berwaspada.

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menekankan dua perkara utama kepada golongan guru (yang menuntut ilmu) bagi mencapai keberkesanan penggarapan ilmu yang dipelajari.

Arahan Allah untuk memperdalami dan bukannya kekadar belajar. Arahan Allah selepas proses mengajar penggarapan ilmu, menyedarkan masyarakatnya dengan memberi peringatan. Jika kedua-dua konsep ini dipraktikkan maka iai boleh meletakkan seseorang yang menuntut ilmu itu mencapai status pendidik yang tinggi.

Ini kerana, pendidik bukan sekadar mengajar atau mencurahan ilmu kepada pelajarnya, malah memastikan para pelajarnya benar-benar mempraktikkan segala ilmu yang digarap, ditambah pula peranan pendidik mampu menjiwai permasalahan yang dihadapi oleh pelajarnya serta mengadakan program susulan jangka panjang. (11)

Keberkesanan sesuatu ilmu yang disampaikan itu bergantung kepada lima perkara untuk mencapai status pendidik yang berdedikasi dan komited terhadap kerjayanya.

Lima perkara yang perlu direalisasikan oleh pendidik, nescaya dia mampu melonjakkan kedudukan sebagai pendidik atau pewaris nabi-nabi, ini berdasarkan Syeikh Prof dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya yang bertajuk "Rasul dan ilmu pengetahuan" :

-Perasaan tanggungjawab terhadap agama, pelajar, masyarakat dan negara.

-Amanah keilmuan yang digarap, dalam erti kata, seorang guru itu mampu menerapkan ilmu sehingga anak muridnya mampu membezakan yang mana baik dan betul, yang mana tidak baik dan salah, dalam erti kata lain dapat membezakan yang mana perkara halal dan perkara haram, kerana ia adalah satu amanah yang besar yang akan disoal di akhirat nanti.

-Mengembalikan 'Izzah (kemuliaan) Islam dengan meletakkannya di tempat yang paling tinggi dalam kehidupan masyarakat.

-Ada perasaan tawadu' (rendah diri) terhadap orang lain.

-Beramal dengan kesesuaian ilmu yang digarap, dalam erti kata tidak menyanggah tindakan dengan penghayatan ilmu. (11)

# Guru perlu menanam dan menerap semangat Guru Cemerlang dalam minda, hati dan jiwa

Guru cemerlang boleh ditakrifkan sebagai guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran. Golongan itu sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan. Peranan mereka pula adalah lebih menjurus kepada menjadi pakar rujuk, memberi khidmat nasihat dan memberi bimbingan kepada rakan lain.

Selain itu, guru cemerlang adalah kumpulan guru yang sentiasa peka, prihatin dan gigih membuat perancangan, pelaksanaan dan pembangunan diri murid dalam pengajaran dalam mata pelajaran kepakaran. Mereka juga sentiasa mengkaji dan menghasilkan inovasi baru demi memartabatkan profesion ini bertaraf dunia. Mereka sewajarnya perlu ikhlas menyumbang bakti kepada anak didik setimpal dengan gelaran diterima mereka.

Guru Cemerlang tidak mengambil pendekatan berada dalam 'zon selesa' sehinggakan melupakan tugas dan peranan mereka dalam erti kara sebenar. Peranan berat mereka pasti menjadi ringan sekiranya ada usaha berterusan untuk meningkatkan pencapaian diri dalam semua perkara. (10)

Rahsia guru cemerlang
•Memiliki disiplin tinggi dan ketrampilan contoh.
•Kemampuan mengajar dan membentuk bakat pelajar.
•Menguasai subjek pelajaran yang dikendalikan.
•Kemampuan menggunakan multimedia atau media pembelajaran.
•Komited dalam kerjaya.
•Bijak mengawal tumpuan pelajar dalam kelas.
•Kreatif dalam menarik minat pelajar dalam mata pelajaran diajar.
•Mampu melahirkan pelajar berkualiti dan cemerlang (17)

PERIBAHASA TENTANG GURU


''Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain''.
Ini adalah pepatah lama yang bermaksud guru dulu terpaksa menempuh pelbagai kesukaran seperti tiada kemudahan dan infrastruktur, karenah dan disiplin pelajar dalam menjalankan tugas , mengajar dan mendidik anak – anak murid. (4)

Pengertian semasa bermakna guru sedia berkorban, masa dan tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya. (7)

"Guru ibarat bunga, mewangikan dirinya di samping mewangikan orang lain''.
Bunga sifatnya sangat sentimental. Tiap-tiap sekuntum bunga biasanya adalah wangi. Bagi dirinya wangi dan bagi orang yang menciumnya berbau harum dan wangi. Bunga yang berwarna-warni diibaratkan sebagai para guru yang disukai oleh orang ramai kerana budi pekertinya yang menarik.

Pokok bunga tersebut akan berbunga silih berganti, mengeluarkan benih yang akan menyambung hayatnya. Bagi guru begitulah hendaknya sentiasa mewangi anak bangsanya dan tak lupa lebih-lebih lagi anak mereka sendiri. (4)

''Guru ibarat matahari, menerangi dirinya di samping itu menerangi orang lain."
Guru ibarat sebagai matahari, menerangi dirinya, di samping menerangi orang lain. Walaupun jauhnya matahari 93 juta tahun perjalanan, ia masih dengan kuasa Allah menerangi alam dan makhluknya.

Matahari dianugerahkan Allah sumber kehidupan termasuk dalam pendidikan. Rata-rata para pendidik kita mahir dalam melayari internet untuk membimbing para pelajar dan anak-anak mereka.

Terangi mereka yang diamanahkan kepada guru dengan akal budi yang luhur di samping dapat memilih mana yang buruk dan yang baik. (4)

Dalam Islam, Rasulullah pula menggambarkan bahawa seorang yang berilmu iabarat bulan purnama. Rasulullah bersabda maksudnya :
Kelebihan orang yang berilmu berbanding `abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang.” (Riwayat Abu Daud dan At -Tirmizi). (1)

WAJAR SEBAGAI PENERIMA ILMU SENTIASA MENGHARGAI PENDIDIK ATAU GURU


Jasa guru akan terus bersambung selagi ada generasi yang ingin menerima ilmu. Sumbangan mereka tidak pernah putus. Sekali dia menjadi guru, selamanya dia akan dipanggil guru. Jasa pendidik curah ilmu tidak mungkin terbalas dengan segunung harta.

# Menjaga tatasusila dan adab oleh penuntut ilmu apabila bermuamalat dengan gurunya.

Ulama menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti bagi mendapat keberkatan ilmu yang dipelajari.
Imam Ghazali antara lain menyebut dalam kitabnya Ihya 'Ulum ad-Din :
"Apapun yang diterangkan oleh guru ketika pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan guru lebih bermanfaat daripada apa yang mungkin benarnya yang datang dari dirinya (penuntut)."

Bukanlah maksud kata-kata itu bahawa segala yang dicurahkan guru, walaupun ia mungkin ada kesilapan perlu diterima bulat-bulat, tetapi apa yang cuba disampaikan adalah betapa perlunya bagi penuntut untuk sentiasa meletakkan martabat guru pada tempat yang selayaknya.

Percanggahan pendapat harus ditangani dengan bijak supaya hubungan antara penuntut dengan gurunya akan terus terpelihara dan dijauhkan daripada menjatuhkan air muka guru di khalayak ramai. (14)

# Merendah diri

Sebagai murid atau pelajar yang menerima banyak ilmu yang diajar guru, kita seharusnya merendahkan diri sebagai tanda menghormati kewibawaan dan keilmuan yang mereka miliki.

Rasulullah bersabda bermaksud :
Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu.” (Riwayat Abu Hurairah) (1)

# Doa akan Guru

Doa sememangnya cara terbaik menyatakan penghargaan atas usaha guru. Selain menghormati dan menunaikan hak mereka, hanya doa yang dapat kita panjatkan ke hadrat Allah sebagai tanda kita mengasihi mereka dan mengharapkan keredaan Allah ke atas diri mereka.

Dengan berdoa agar kehidupan guru kita penuh dengan keberkatan dan keselamatan. Bahkan dengan doa inilah kita akan dapat mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dengan guru kita itu selama ini yang kita masih dapat mengesannya atau yang pergi meninggalkan kita. (1)

# Memohon kemaafan dan restu


Memohon kemaafan daripada pihak guru atas segala tindak tanduk pelajar selama ini yang mungkin menyebabkan guru kecil hati. Para pelajar boleh memohon jasa baik guru agar dihalalkan segala ilmu yang dicurahkan serta mendoakan pelajar agar memperoleh keberkatan ilmu yang dipelajari. Faktor restu guru adalah penting demi kejayaan pelajar bukan sahaja dalam peperiksaan tetapi juga terhadap aspek kehidupan pelajar yang lain seperti akhlak dan sahsiah. (3)

# Hormat pada Guru

Hormat terhadap guru dengan cara berkomunikasi dengan guru secara sopan santun dan bijaksana. Selain itu tekun berusaha untuk memahami pengajaran guru, menyiapkan tugasan yang diberikan serta mengamalkan ilmu bermanfaat yang disampaikan oleh guru kepada pelajar. Mematuhi peraturan sekolah juga merupakan cara menghormati guru. Peraturan sekolah melengkapkan serta melancarkan pendidikan guru di dalam kelas. (3)

# Mengucapkan Terima Kasih Cikgu

Ucapan terima kasih seharusnya ditujukan khas buat guru yang banyak berkorban masa, tenaga dan idea demi melihat anak didiknya terus berjaya, bukan saja di dunia malah di akhirat kelak.

Hal ini bertepatan saranan Baginda SAW yang mengajar umatnya sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan 'terima kasih' kepada sesiapa saja yang berbakti kepada mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia." (Hadis riwayat Bukhari) (14)

# Muhasabah diri

Hadiah yang tidak ternilai buat seorang guru ialah apabila pelajar bermuhasabah diri demi mengenal pasti sejauh mana pelajar telah berperanan sebagai seorang pelajar yang sedang menuntut ilmu daripada seorang guru. Pelajar boleh menilai diri mereka melalui sudut pandang guru terhadap pelajar, yakni apakah ciri-ciri seorang pelajar yang disukai dan yang tidak disukai oleh guru. (3)

# Jangan ego dengan kelebihan yang ada

Guru juga seorang manusia biasa dan tidak dapat lari daripada memiliki kekurangan atau melakukan kesilapan. Justeru sebagai pelajar, kita seharusnya mencontohi perkara kebaikan yang ditunjukkan oleh guru dan mengambil iktibar daripada kekurangan guru dengan berusaha menjadi lebih baik. Bagi sesetengah pelajar, mereka mungkin memiliki pengetahuan atau kemahiran yang lebih baik daripada apa yang mampu diajarkan oleh guru. Hal ini tidak seharusnya menjadikan pelajar berasa ego atau tinggi diri terhadap guru lalu menyebabkan pelajar hilang rasa hormat terhadap guru atau mengabaikan pengajaran guru.

Andainya pelajar kurang bersetuju dengan mana-mana pengajaran guru, perkara tersebut perlu dicurahkan melalui kaedah diskusi secara berhemah dan bijaksana tanpa sebarang unsur yang merendahkan martabat seorang guru serta tidak menjejaskan hubungan antara pelajar dan guru. (3)

# Manfaat ilmu dalam kehidupan

Pengorbanan dan kesungguhan guru menghadapi cabaran perlu dibalas dengan kejayaan pelajar menterjemahkan ilmu disampaikan dalam kehidupan mereka. Segala penat lelah terbalas apabila melihat pelajar yang dididik serta dibimbing penuh kasih sayang mencapai kejayaan dalam pelajaran seterusnya mencapai kecemerlangan. (2)

Artikel berkaitan : GURU OH GURU, CIKGU OH CIKGU... bahagian 1

Sumber rujukan :
(1) Bharian Online 15/05/2010 (1 Jamadil Akhir 1431) – Artikel bertajuk Doakan guru tanda kasih sayang

(2) Bharian Online 15/05/2009 (20 JamadilAwal 1430) – Artikel bertajuk Manfaat ilmu cara terbaik hargai jasa guru

(3) Utusan Online 21/05/2009 (26 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Muhasabah diri sempena Hari Guru

(4) Utusan Online 13/05/2010 (29 Jamadil Awal 1431) – Artikel bertajuk Peranan guru bagai 'matahari'

(5) Utusan Online 14/05/2010 (30 Jamadil Awal 1431) – Artikel bertajuk Terima kasih cikgu

(6) Utusan Online 16/01/2009 (30 Muharram 1431) –Artikel bertajuk Pelajar rindu pujian guru

(7) Bharian Online 12/05/2009 (17 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Bicara Canseleri: Kenang jasa guru

(8) Bharian Online 12/05/2009 (17 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Perspektif IKIM: Berbangga dengan kerja tingkat kualiti tugas

(9) Bharian Online 2/07/2009 (9 Rejab 1430) – Artikel bertajuk Pendakwah dituntut bersikap lemah lembut, sentiasa sabar

(10) Bharian Online 24/11/2009 (6 Dzulhijjah 1430) – Artikel bertajuk Guru Cemerlang lonjak prestasi akademik

(11) Harakahdaily 16 Mei 2008 – Artikel bertajuk Sempena Hari Guru - Penghormatan kepada guru - Antara kebenaran dan kepalsuan

(12) Utusan Online 14/05/2009 (19 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Komitmen guru tingkatkan sistem pendidikan

(13) Bharian Online 16/05/2009 (21 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Guru pendukung aspirasi membentuk modal insan holistik

(14) Bharian Online 16/05/2009 (21 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Profesion perguruan setanding peranan ulama

(15) (Utusan Online) 16/05/2010 (2 Jamadil Akhir 1431) – Artikel bertajuk Menjadikan Guru Berkesan

(16) Utusan Online) 19/05/2010 (5 Jamadil Akhir 1431) – Artikel bertajuk Guru sejati tidak harapkan ganjaran, insentif

(17) Bharian Online 15/05/2010 (1 Jamadil Akhir 1431) – Artikel bertajuk Cikgu lelaki

No comments:

Post a Comment