Monday, 21 June 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 4 akhir)

PUSAT BANDAR DUNDEE – APA YANG MENARIK

Entri kali ini lebih banyak gambar. Penulis saja untuk memaparkan gambar – gambar yang diambil sekitar Pusat Bandar Dundee yang disusun mengikut nama jalan. Jalan – jalan ini merupakan kawasan – kawasan laluan yang biasa penulis gunakan sekiranya ber’peleseran’ di sini atau jika ada urusan – urusan tertentu.

Jalan Westmarketgait
Jalan yang paling dekat dengan rumah penulis. Di jalan ini adanya balai polis, hotel Travelodge – hotel ala – ala Seri Malaysia dan Stesen Minyak Shell. Jalan ini agak sibuk kerana ia merupakan jalan utama untuk ke tempat – tempat lain.





Jalan Meadowside
Jalan yang tidak kurang sibuknya kerana merupakan jalan untuk ke pusat bandar. Pejabat pos terletak di jalan ini. Di hujung jalan adanya perhentian bas, tempat tarikan pelancong iaiitu Galeri Seni dan Muzium McManus dan juga sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Tinggi Dundee.






Jalan Reform
Letaknya restoran makanan segera seperti McDonald dan juga Kafe Kopi Costa, kedai gambar, kedai – kedai kebajikan atau ‘charity shop’ – kedai yang menjual barang – barang terpakai hasil sumbangan orang ramai yang mana sebahagian daripada duit hasil jualan barang masuk tabung kebajikan. Jalan ini terus menuju ke Caird Hall.





Caird Hall
Lokasinya di tengah – tengah Pusat Bandar Dundee. Caird Hall menjadi lokasi pelbagai program dan juga aktiviti dan antaranya ialah Majlis Konvokesyen Universiti Dundee. Datarannya juga sibuk dengan pelbagai aktiviti dan keraian antaranya lokasi membuat persembahan, demonstrasi, pasar petani dan sebagainya. Lokasi strategik untuk ‘membuang masa’ dan bersantai. Terdapat pintu masuk ke pusat membeli belah Overgate dan juga PRIMARK.





Jalan Nerthergate dan Jalan High
Jalan utama laluan bas Bandar Dundee seperti Travel Dundee dan Stagecoach. Terdapat banyak perhentian bas ke pelbagai destinasi di sekitar Dundee. Terdapat sebuah jam besar yang menjadi rujukan masa yang utama oleh warga Dundee yang merupakan sebahagian daripada bangunan gereja yang besar di sini.




Jalan Seagate
Jalan menuju ke Stesen Bas Utama Dundee – ala – al Pudu Raya yang terletak di hujung jalan ini. Laluan utama penulis untuk ke sebuah kedai Cina, Matthew’s Foods terletak di jalan Gellatly yang menjual barang – barang dari Asia. Banyak barang – barang Malaysia juga boleh diperoleh di sini.




Jalan Murraygate
Jalan raya yang dulu menjadi laluan utama keretapi iaitu TRAM. Tapi kini tidak lagi dan kini ia menjadi kawasan perniagaan yang sibuk, dengan pelbagai kedai yang menawarkan pelbagai produk seperti kedai – kedai telefon bimbit, Tesco, kedai – kedai menjual pakaian berjenama, pusat membeli belah M & S, kedai – kedai menjual barangan elektronik, kedai – kedai yang menjual permainan video dan sebagainya. Jalan menuju ke pusat membeli belah Wellgate.





Lihat video di bawah yang diambil daripada Youtube mengenai Dundee dan persekitarannya :



Sumber rujukan : locate-dundee, dundeecity discoveryoverview, dundeecity, ukattraction, rpasmith, west-adamston-farmhouse, cityquay

Akan bersambung siri ke – 7 ‘Dundee Sebuah Kisah’ selepas ini...

Pautan berkait :
Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 1)
Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 2)
Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 3)

Thursday, 17 June 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 3)

TEMPAT – TEMPAT TARIKAN PELANCONG SEKITAR DUNDEE

B) Kawasan Rekreasi dan Taman
17) Camperdown Country Park
18) Botanic Garden




Peta interaktif Bandar Dundee seperti di atas, sila klik di sini.

17) Camperdown Country Park
Sebuah taman rekreasi yang besar yang terletak di pinggiran bandar, termasuk Pusat Hidupan Liar Camperdown (zoo mini), lapangan golf dan kompleks taman permainan kanak – kanak yang agak besar. Di tengah – tengah taman rekreasi itu terletak sebuah rumah besar neo-klasik yang mengkagumkan dikenali sebagai Rumah Camperdown.

Gambar di atas mengikut pusingan jam : Penulis sekeluarga bergambar di pintu masuk, jalan masuk ke Camperdown Country Park, Tasik yang terdapat di sini, taman permainan kanak – kanak, penulis bergambar di hadapan Rumah Besar Camperdown.

Catatan penulis : Penulis dan keluarga telah ke tempat ini. Selain mempunyai taman permainan kanak – kanak dan juga zoo mini iaitu Camperdown Wildlife Centre (Pusat Hidupan Liar Camperdown), ia juga sesuai untuk berkelah dan beristirehat sambil orang dewasa boleh mencuba permainan air seperti mendayung dan mengayuh bot di kolam yang disediakan.

18) Botanic Garden
Sebuah Taman Botani Moden yang mana tanah landai sebelah selatan mengarah ke tebing Sungai Tay. Ditubuhkan pada 1971, ia mempunyai koleksi tumbuhan seperti konifer dan pokok – pokok yang mempunyai daun lebar, rumah kaca yang menempatkan pokok – pokok yang renek, tropika dan sederhana, kolam taman dan taman herba. Ia juga mengandungi koleksi tumbuh – tumbuhan semula jadi berasal dari Britain.


Catatan penulis : Setakat entri ini ditulis, penulis masih belum berpeluang untuk ke taman ini. Taman ini kalau di Malaysia ia seperti kawasan hutan simpan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (‘FRIM – Forest Research Institute of Malaysia’) di Kepong.

C) Tempat Membeli belah
19) Overgate Shopping Centre
20) Wellgate Shopping Centre
21) City Quay

Dua pusat membeli belah yang utama di Bandar Dundee ini, yang boleh dikatakan ala – ala Alamanda di Putrajaya.

19) Overgate Shopping Centre


Pusat membeli belah Overgate memang unik. Dibina daripada dinding kaca yang berbentuk lengkungan dan ia merupakan satu - satunya pusat membeli belah yang mempunyai satu bahagian sahaja di Eropah.

Dengan peruncit ternama seperti Debenhams, New Look, Primark, River Island, Next, French Connection, Mango, Office, Lush, WHSmith, Argos dan Sport World dan banyak lagi.

Mempunyai dua kafe balkoni dan juga Kafe Starbucks dan Muffin Break.

20) Wellgate Shopping Centre


Pusat membeli belah tiga tingkat, ruang runcit yang besar dan juga Perpustakaan Utama Dundee. Nama ‘Wellgate’ berasal daripada perkataan lama Bahasa Scotland iaitu “Welgait” yang bermaksud ‘walk to the well’; berjalan mengambil air dari ‘Our Ladys Well’ yang terletak di Utara Wellgate (terdapat sebuah rumah awam di hujung bahagian Utara yang dikenali sebagai ‘Ladywell’).

Terdapat 30 peruncit yang ternama yang menawarkan aktiviti beli – belah yang hebat, tempat makanan ‘food court’ yang hebat dan mempunyai pelbagai hiburan keluarga sepanjang tahun.

Catatan penulis : Kedua – dua pusat membeli belah ini memang menjadi tumpuan ramai. Setiap kali penulis ke bandar pasti singgah di kedua – dua pusat membeli belah ini.

21) City Quay
Terletak di sekeliling bekas Pangkalan Victoria di Dundee’s Waterfront, City Quay adalah kawasan runcit, tempat santai dan hotel. Pembangunannya termasuklah marina, bersama – sama dengan ‘Frigate Unicorn’, yang dibina pada 1824, dan juga Kapal lampu North Carr, yang mana kedua – duanya dilabuhkan secara kekal di Limbungan Victoria.

Gambar di atas mengikut pusingan jam : Papan tanda ‘City Quay’, Pusat komersial ‘City Quay’, Suasana pusat komersial, Sauh - antara identiti ‘City Quay’ sebagai sebuah limbungan kapal, Terdapat permainan rekreasi dalaman kanak- kanak, restoran TAZA dijamin halal.

Catatan penulis : Pada awal – awal penulis tiba di sini, penulis rajin bawa anak – anak penulis ke taman permainan rekreasi dalaman kanak – kanak di sini – ‘Junglee Fun Cafe’, memandangkan cuaca di sini yang agak sejuk dan berangin tidak sesuai untuk bermain di luar di taman permainan kanak – kanak. Selain itu taman permainan kanak – kanak di sini agak terhad dan tidak banyak seperti di Malaysia. Lokasi ‘Frigate Unicorn’ dan ‘North Carr Lightship’ juga di sini.

D) Sukan dan rekreasi
22) Camperdown and Caird Park Golf Courses
23) Olympia Leisure Centre
24) Dundee Ice Arena

22) Camperdown Golf Course and Caird Park Golf Course


Dundee mempunyai lebih daripada 100 lapangan golf yang baik. Di dalam bandar adanya Kelab Golf Doenfield, Lapangan Golf Camperdown dan Lapangan Golf Caird Park, semuanya menanti pengunjung. Bandar Dundee adalah 20 minit memandu dari St. Andrews – tempat dan lapangan golf popular yang pernah penganjurkan kejohanan dunia pada tahun 1999.


Catatan penulis : Rasanya tidak ke sini sebab penulis sendiri tidak pandai main golf. Mungkin cuma ambil gambar sahaja. Tapi penulis pernah ke lapangan golf di St. Andrews kerana lapangannya tidak mempunyai pagar dan ia berdekatan dengan pantai.

23) Olympia Leisure Centre

Sebuah pusat sukan moden dan kolam renang yang terletak di Tay, bersebelahan ‘Discovery Point’.

Catatan penulis : Penulis pernah sekali ke sini untuk bawa anak – anak mandi manda di kolam renang yang disediakan. Di Malaysia yang popular ialah Taman Tema Air A Famosa (‘A famosa Waterpark’) di Melaka, Taman Tema Air Sunway (‘Sunway Lagoon’) di Petaling Jaya, di Kuala Lumpur iaitu di Desa Waterpark dan Tiara Beach Resort di Port Dickson.

24) Dundee Ice Arena
Arena Ais yang terletak di pinggir Bandar Dundee, mempunyai gelanggang luncur bersaiz Olimpik, sebuah kafe, bar, restoran dan kedai barangan luncur ais. Gelanggang mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 2300 orang dan ia merupakan lokasi popular bagi sukan hoki ais dan ‘curling’ (sejenis permainan golek bola atas ais), peluncur profesional dan aktiviti keluarga berluncur.

Catatan penulis : Belum lagi berkesempatan ke sana sebab tidak terfikir pula hendak bermain luncur ais (‘Ice Skating’) setakat ini. Lagipun tidak pandai langsung main luncur ais.

TEMPAT LAWATAN MENARIK DI UNIVERSITI DUNDEE

Di Universiti Dundee juga terdapat beberapa tempat yang boleh dilawati, antaranya :
1) University of Dundee Museum
2) Matthew Gallery
3) Lower Foyer Gallery
4) Lamb Gallery
5) Discparc
6) Cooper Gallery
7) Centrespace


1) University of Dundee Museum
Muzium yang mempunyai pelbagai bahan pameran merangkumi bidang botani, kimia, pergigian, kejuruteraan, seni, matematik dan zoologi.

2) Matthew Gallery
Lokasinya bersebelahan dengan Fakulti Senibina Universiti Dundee dan ia mempunyai bahan pameran daripada penuntut – penuntut universiti mengekspresi idea.

3) Lower Foyer Gallery
Dibina untuk bahan pameran penuntut Jabatan Seni Universiti Dundee dan ia adalah tempat menarik untuk dilawati.

4) Lamb Gallery
Mempamerkan kepelbagaian alam semulajadi dan dioperasikan oleh Perkehidmatan Muzium Universiti Dundee.

5) Discparc
Mempamerkan dan memberi maklumat tentang perkembangan muzik dan bunyi seperti seni skizofonik, elektro-akustik, bunyi dan banyak lagi.

6) Cooper Gallery
Mempamerkan ruang yang unik dan inovatif untuk seni kontemporari denga pelbagai tema.

7) Centrespace
Terletak di Pusat Penyelidikan Visual di Universiti Dundee. Penyelidikan yang diadakan secara terbuka untuk memberi inspirasi kepada pengunjung.

Bersambung di bahagian 4, tempat - tempat menarik dan panorama sekitar Pusat Bandar Dundee.

Pautan berkait :
Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 1)

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 2)

Wednesday, 16 June 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 2)

TEMPAT – TEMPAT TARIKAN PELANCONG SEKITAR DUNDEE

Pusat Informasi Pelancongan, Dundee terletak di tengah – tengah pusat bandar iaitu di Jalan Castle, berdekatan Dataran Bandar (‘City Square’), segala maklumat mengenai Dundee ada disediakan, beserta dengan bantuan untuk penginapan dan sebagainya. Sila klik di sini dan sini untuk maklumat lanjut.

Peta biru di bawah menunjukkan kedudukan beberapa tempat menarik utama di Dundee, serta kedudukan Hospital Ninewells dan Lapangan Terbang Dundee.

*Peta ini kalau berjalan di pusat bandar, memang ada beberapa papan kenyataan ini di beberapa lokasi dan memudahkan pelancong untuk mengetahui tempat – tempat menarik yang boleh dilawati.


Selain itu peta di bawah diperolehi daripada Laman Sesawang Majlis Perbandaran Dundee untuk menunjukkan kedudukan tempat – tempat menarik yang boleh dilawati.


Peta interaktif Bandar Dundee seperti di atas, sila klik di sini.

Antara tempat menarik yang boleh dilawati ialah, mengikut kategori :
A) Tempat Tarikan Pelancong
B) Kawasan Rekreasi dan Taman
C) Tempat Membeli belah
D) Sukan dan Rekreasi


A) Tempat Tarikan Pelancong
1) Broughty Castle Museum
2) Camperdown Wildlife Centre
3) Discovery Point
4) Dundee Contemporary Arts
5) Dundee Flower and Food Festival
6) Frigate Unicorn
7) The McManus: Dundee's Art Gallery and Museum
8) Mills Observatory
9) Sensation
10) Verdant Works
11) North Carr Lightship
12) Dundee Law
13) Claypotts Castle
14) Dundee Rep Theatre
15) Tay Bridges
16) Glamis Castle

1) Broughty Castle and Museum (Istana Broughty dan Muzium)
Istana Broughty dibina pada tahun 1946 tetapi musnah semasa abad ke – 18. Pada abad ke–19, ia dibeli dan dibina semula oleh Pejabat Perang (‘War Office’). Pada 1969, Istana Broughty dibuka sebagai muzium perikanan, peralatan menangkap ikan paus, senjata dan perisai. Ia sekarang merupakan sebahagian daripada rangkaian Muzium Dundee dan tempat menunjukkan cara hidup dan penduduk di Broughty Ferry. Istana Broughty terletak beberapa minit daripada pantai Broughty Ferry dan persiaran, lima batu di sebelah timur Dundee. Ia mempunyai permandangan Sungai Tay yang hebat.


Gambar di atas : Ikut pusingan jam; Papan tanda ‘Broughty Ferry Castle Green & Beach’, taman permainan kanak – kanak, air pancur yang berfungsi hanya pada musim panas sahaja untuk kanak – kanak bermain air, permandangan indah Sungai Tay, adanya permainan kereta go-kart, lapangan golf mini juga disediakan, gambar penulis di tengah - tengah.

Catatan penulis : Penulis sudah dua kali ke sini bersama keluarga. Pertama pada awal semasa penulis tiba di sini dan kali kedua pergi bersama keluarga untuk berkelah. Ada kawasan permainan kanak – kanak dan juga berdekatan dengan pantai. Ramai orang sekitar Dundee yang menghabiskan masa bersama keluarga ketika musim panas.

2) Camperdown Wildlife Centre (Pusat Hidupan Liar Camperdown)
Zoo mini yang terletak di Taman Rekreasi Camperdown (‘Camperdown park’) yang mempunyai pelbagai hidupan liar yang dipuliharakan dan penyelidikan dijalankan oleh pihak universiti.

Catatan penulis : Walaupun sudah beberapa kali pemulis ke taman rekreasi Camperdown ini, tapi masih belum berkesempatan memasuki pusat hidupan liar ini. Ini kerana setiap kali penulis ke sini pasti ke taman permainan kanak – kanak yang terdapat di taman rekreasi ini.

3) Discovery Point
Discovery Point’ adalah tempat letaknya kapal Kapten Scott – ‘RRS Discovery’, yang mana telah dibina di Dundee untuk ekspedisinya ke Antartik, dan ‘Verdant Works’, pemenang Anugerah Tahunan Muzium Industri Eropah. Ia mempunyai mesin – mesin asal, dan juga mempamerkan bahan – bahan komputer dan bahan – bahan boleh laku (‘hands-on’).

RRS Discovery’ adalah kapal kayu tiga tiang layar yang dibina di Kepulauan British, dan telah dilancarkan pada 21 March 1901, direka untuk penyelidikan ke Antartik. Misi pertama kapal ini ini dipanggil sebagai Ekspedisi Antartik Kebangsaan Britain, yang membawa Robert Falcon dan Ernest Shackleton yang merupakan pelayaran pertama mereka, yang merupakan pelayaran yang berjaya ke Antartik, dikenali sebagai Ekspedisi Penemuan (‘Discovery Expedition’).

Pada 28 Mac 1986, kapal ini meninggalkan London di atas kapal kargo ‘Happy Mariner’ untuk dibawa pulang ke Dundee, bandar di mana ia dibina, tiba di Sungai Tay pada 3 April dengan sambutan yang kacau – bilau. Dipindahkan ke dok limbungan biasa pada 1992, kapal ini merupakan pusat tumpuan pelancong ke Dundee terutama bagi ‘Discovery Point’. Bandar ini juga dikenali sebagai ‘The City of Discovery’, sebagai penghormatan kerja dan penyelidikan yang dilakukan oleh oleh Kapal ‘RRS Discovery’ dan juga kerja – kerja penyelidikan yang dilakukan oleh universiti – universiti dan Hospital Ninewells.


Lawatan penulis ke Discovery Point pada tahun 2008

Catatan penulis : Antara tempat terawal yang penulis serta keluarga melawat ketika mula – mula tiba di sini. Behajat hendak masuk dan naik kapal, tapi memandangkan tiket untuk mesuk kapal agak mahal, hajat terbantut. Tidak mengapa, ambil gambar kapal pun jadilah. Terlintas di fikiran penulis, bahawa di Melaka pun ada tempat lawatan sebegini. Sejarah negara kita perlu diketahui terlebih dahulu. Ini juga antara lokasi wajib yang perlu dilawati jika ada kawan atau sahabat yang berkunjung di sini. Lagipun cantik permandangan di sini kerana ia terletak di tepi sungai Tay. Kalau bernasib baik boleh lihat orang memancing di sini.

4) Dundee Contemporary Arts (Pusat Seni Kontemporari Dundee)


Dundee Contemporary Arts (DCA)’, Pusat Seni Kontemporari Dundee disenaraikan antara sepuluh tempat menarik pelancongan di Scotland oleh ‘Visit Scotland’ dan ia dikenali di peringkat antarabangsa, sebagai pemenang anugerah dalam bidang pendidikan dan juga merupakan tempat, lokasi diadakan aktiviti sosial dan perjumpaan. DCA mempunyai 5 sinema, galari, kemudahan seni, sumber pendidikan, pusat penyelidikan secara maya Universiti Dundee dan sebuah kafe yang besar dan popular. Ia telah menarik minat pengunjung lebih 1,000,000 orang sejak dibuka pada Mac 1999, lebih 300,000 setahun.

Catatan penulis : Penulis masih belum berpeluang untuk ke sini.

5) Dundee Flower and Food Festival (Festival Makanan dan Bunga Dundee)
Festival Makanan dan Bunga ini akan diadakan pada 3-5 September 2010. Ia merupakan acara tahunan yang memperagakan dan mempertontonkan tukang masak – tukang masak Scotland dan juga pakar – pakar perkebunan serta diadakan pameran kraftangan, pembuatan kek dan roti, aktiviti – aktiviti kanak – kanak dan seni flora.

Catatan penulis : Festival ini diadakan sepanjang tahun. Selalunya diadakan di pusat bandar Dundee. Meriah dan menghiburkan lebih – lebih lagi iai memperkenalkan budaya Scotland.

6) Frigate Unicorn (Kapal Perang Kecil Unicorn)


Unicorn, kapal perang kecil dengan rangka kapal diperbuat daripada kayu dibina pada tahun 1824 merupakan kapal paling tua binaan British yang masih terapung. Terletak di limbungan Victoria di Sungai Tay yang menggambarkan teknologi yang ada pada masa dahulu. Kapal tersebut telah menjadi muzium maritim dan ia dibuka kepada orang ramai dengan mempamerkan koleksi artifak dan pelbagai lagi yang jarang dijumpai.

Kapal perang ‘Frigate Unicorn’ yang terletak di Limbungan Victoria di City Quay

Catatan penulis : Penulis pernah ke lokasi di mana kapal ini berlabuh tapi tidak sangka ia merupakan sebuah muzium maritim. Perlu dilawati satu hari nanti.

7) The McManus: Dundee's Art Gallery and Museum
McManus : Muzium dan Galeri Seni Dundee, pusat utama galeri dan muzium bagi Dundee, dulu dikenali sebagai Institut Albert, terletak di tengah – tengah Bandar Dundee di ‘Albert Square’ di jalan Reform.

Galeri dan muzium ini merupakan salah satu struktur binaan Gothic di dalam bandar. Koleksi seni yang mengkagumkan menarik minat pelbagai lapisan masyarakat dan pengunjung.


Catatan penulis : Masih lagi tidak berkesempatan untuk masuk ke dalam walaupun boleh dikatakan kerap juga penulis ke pusat bandar.

8) Mills Observatory (Balai Cerap Mills)
Terletak di puncak Bukit Balgay. Ia merupakan satu – satunya Balai Cerap British yang dibina semata – mata untuk tujuan menggalakkan orang ramai untuk memahami Sains, dan ia merupakan Balai Cerap yang dibuka untuk lawatan pengunjung.


Catatan penulis : Penulis dan keluarga pernah sekali tiba di sini. Perlu mendaki sedikit. Tempat ini kalau di Malaysia sama seperti Planetarium Negara di Kuala Lumpur.

9) Sensation


Dundee Sensation’ atau dalam Bahasa Melayunya penulis panggil Pusat Sains Sensasi Dundee dibuka kepada orang ramai pada bulan Julai 200 dan ia adalah salah satu tarikan utama pelancong apabila ke Dundee. Ia menarik minat seramai lebih 60,000 pengunjung setahun, meruapakan sebahagian daripada Rangkaian Pusat Sains Scotland, bersama – sama dengan Pusat Sains Glasgow, dan Pusat Sains Satrosfera dan Bumi Kita Yang Dinamik di Aberdeen.

Ia mempunyai aktiviti dan eksperimen yang boleh laku dan buat untuk semua orang – terdapat pelbagai pertunjukan dan pameran yang interaktif yang boleh membawa Sains itu lebih difahami. Dengan melibatkan deria seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan, hidu dan rasa kita boleh berinteraksi dan menjelajahi perkara – perkara yang berlaku di sekeliling kita.


Catatan penulis : Penulis hanya berkesempatan melawat pusat Sains ini ketika nurseri anak penulis membuat lawatan sambil belajar ke sini. Di mana penulis menjadi sukarela untuk membantu mengawal anak – anak yang masih kecil. Bayaran untuk sukarelawan adalah percuma dan anak – anak nurseri ini dikenakan bayaran £3.50 seorang untuk tiket, iaitu dua pertiga daripada harga sebenar. Cuba lihat bagaimana anak – anak kecil digalakkan untuk melawat tempat sebegini untuk menimbulkan minat terhadap sains.
Apabila penulis ke sini, penulis tiba – tiba terfikir bahawa Malaysia juga mempunyai pusat sains seperti ini iaitu satu di Bukit Kiara iaitu Pusat Sains Negara. Malah penulis boleh simpulkan bahawa pusat sains kita lebih ke hadapan dan menarik berbanding di sini.

10) Verdant Works
Bermula dari tarikh 1830an, kilang ini telah ditukarkan menjadi sebuah muzium yang amat menarik menumpukan khusus kepada industri penghasilan jut di Dundee. Jut merupakan serat semula jadi yang pelbagai guna. Muziumnya mengekalkan mesin penghasilan jut yang asal, penggambaran, aktiviti multimedia, dan juga aktiviti tindakan yang boleh menarik minat kanak – kanak.


Catatan penulis : Tempat ini juga penulis belum berpeluang untuk pergi, walaupun ia terletak tidak jauh dari rumah penulis.

11) North Carr Lightship
North Carr adalah satu – satunya kapal lampu (‘lightship’) yang tinggal di Scotland. Pengangkutan air yang hebat yang pernah ditugaskan untuk melindungi kapal – kapal belayar dari Fife Ness. Sehinggalah tahun 1975 ia akhirnya berlabuh di pelabuhan kali yang terakhir dan kemudian ia menjadi tempat tarikan pelancong. Ia merupakan tempat yang paling hebat untuk mengetahui mengenai warisan maritim.

Kapal lampu North Carr yang terletak di Limbungan Victoria di City Quay

Catatan penulis : Masih belum berkesempatan ke sana. Ia berdekatan dengan Kapal Perang Unicorn.

12) Dundee Law
Dundee Law merupakan kawasan pusat tinjau yang mana kita boleh melihat panorama bandar Dundee dari sini. Puncak ini boleh didaki dengan menaiki kereta atau berjalan kaki.

Law”, nama dalam perkataan ‘Gaelic’ untuk bukit atau seumpama dengannya, membawa maksud timbunan atau bukit, merupakan bukaan batu basalt sebuah gunung berapi yang telah lama mati terbentuk 400 juta tahun yang lalu. Puncak bukit adalah 174 meter dari paras laut.

Merupakan pusat pertahanan Dundee beberapa ribu tahun yang lalu, mempunyai struktur menara iaitu memorial sempena memperingati mereka yang terkorban semasa ‘Great War’ 1914 – 1918.

Boleh melihat panorama sekeliling Dundee, menjangkau 45 batu pada hari siang yang baik iaitu kawasan Fife, Perthshire dan Bukit Sidlaw di sebelah utara.

Gambar di atas : Ikut pusingan jam; struktur menara memorial, penulis, keluarga dan sahabat, jambatan landasan keretapi, boleh nampak rumah penulis dari sini, gambar tengah – tengah menunjukkan jambatan yang menghubungkan Dundee dan Fife.

Catatan penulis : Penulis telah beberapa kali ke sini. Setiap kali ada sahabat yang berkunjung pasti lokasi ini akan dikunjungi. Kalau di Malaysia, kita boleh ke Kompleks Pelancongan Menara Tinjau Ampang di Bukit Langat yang mana kita boleh melihat panorama Kuala Lumpur dari situ.

13) Claypotts Castle
Sebuah rumah menara yang lengkap dan istimewa tahun 1560 – 88, ia dibuka kepada orang ramai. Ia terletak di tepi West Ferry, yang pernah suatu masa dulu merupakan kawasan pinggiran yang terkaya di Eropah.


Catatan penulis : Penulis masih belum berkesempatan untuk ke sini.

14) Dundee Rep Theatre
The Rep’ atau ‘Dundee Repertory Theatre’ adalah merupakan bangunan yang moden, yang telah diperbaharui, pawagam yang memenangi anugerah yang berubah tema dan hiasan dalamannya mengikut musim. Ia terletak di ‘Tay Square’. Rep juga merupakan syarikat hiburan kumpulan muzik dan tarian sepenuh masa di Scotland, lokasi yang popular bagi peminat jazz dan blues dan terdapat bar dan restoran.

Pawagam Rep ini adalah salah satu daripada tiga pawagam yang terdapat di Dundee, selain itu adalah Pawagam Steps (‘Steps Theatre’) dan Pawagam Kecil (‘Little Theatre’).

Catatan penulis : Belum sempat ke sana. Tapi mungkin sekadar bergambar di luar sahaja.

15) Tay Bridges


Merentangi Sungai Tay dari kawasan tengah Dundee, dan sejajar dengan puncak ‘Dundee Law’, Jambatan Jalan Raya Sungai Tay dibuka oleh HM Ratu Elizabeth iaitu ‘Queen Mother’ dalam tahun 1966.


Lebih kurang 1.5 batu ke arah barat, jambatan laluan landasan keretapi 1886 (dibina oleh W H Barlow dan Sir William Arrol) yang menggantikan Jambatan Satu Landasan yang dibina oleh Sir Thomas Bouch yang mana telah runtuh ketika ribut kencang pada 28 Disember 1879, bersama – sama dengan penumpang keretapi, kesemuanya mati dalam kejadian tersebut.

Catatan penulis : Penulis telah beberapa kali melalui jambatan Sungai Tay untuk ke St. Andrews, Fife dan Edinburgh. Jambatan Landasan Keretapi pernah juga penulis melaluinya apabila penulis dan keluarga menaiki keretapi ke Edinburgh dan London.

16) Glamis Castle


Tempat lahir ‘Queen Mother’ Istana Scone, dengan barangan antik, porselin dan lukisan yang cantik – cantik. Menara tinggi, menara kecil, menara dan ukiran di Istana Glamis akan menarik perhatian anda, tetapi sebenarnya banyak lagi tarikan yang perlu dijelajah di Istana lagenda ini. Dengan sejarahnya, kisah istananya dan ceritanya, Istana Glamis merupakan salah satu tempat lawatan yang perlu dilawati oleh pelancong.


Catatan penulis : Penulis hanya berkesempatan mengambil gambar di luar pagar sahaja. Nanti kalau berkesempatan penulis ingin melawati Istana ini.

Bersambung di bahagian 3, tempat - tempat menarik dalam kategori seterusnya :
B) Kawasan Rekreasi dan Taman
C) Tempat Membeli belah
D) Sukan dan Rekreasi

Pautan berkait :
Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 1)

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 3)

Tuesday, 15 June 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 1)

DUNDEE - ‘City of Discovery


Dundee, “the City of Discovery”, merupakan sebuah bandar yang moden terletak di muara sungai Tay pada bahagian timur susur pantai Scotland dengan populasi dianggarkan 142,000 orang. Aberdeen dan Edinburgh terletak sejam perjalanan dengan memandu dan satu setengah jam perjalanan ke Glasgow.

Permandangan dari Fife : Jambatan Sungai Tay yang menghubungkan Dundee dengan Fife menyeberangi Muara Sungai Tay.

Dundee adalah stesen utama keretapi “East Coast UK”, mempunyai jaringan lebuh raya yang sangat baik, lapangan terbang yang mempunyai perkhidmatan penerbangan terus dari Belfast, Birmingham dan Bandaraya London dan juga mempunyai pelabuhan kapal pelayaran.

Di mana sahaja di Dundee, mengambil masa hanya maksimum 20 minit untuk memandu melalui bandar. Perjalanan ke tempat kerja di luar kawasan Dundee seperti di Perth, St Andrews dan Carnoustie hanya mengambil masa tidak lebih 30 minit.

Dundee mempunyai lapangan terbangnya sendiri yang terletak dua batu dari Pusat Bandar Dundee. Ia menghubungkan Lapangan Terbang Bandar raya London, dengan penerbangan empat kali seminggu termasuk pada hujung minggu ditawarkan oleh ScotAirways.

Terdapat juga penerbangan terus dari Birmingham dan Belfast dioperasikan oleh Loganair dengan kerjasama Flybe.

Dundee juga mempunyai stesen keretapi yang mana merupakan destinasi persinggahan Laluan Susur Pantai Timur (‘East Coast Mail Line’), disediakan oleh pengendali operator Scotrail, Virgin dan GNER, dengan jaringan antara bandar menghubungkan London dengan 6 jam perjalanan. Sebarang maklumat mengenai perkhidmatan keretapi sila layari thetrainline.

Jaringan jalan raya memang baik dari Dundee, dengan lebuh raya dua hala bagi sebuah pusat bandar dengan populasi yang besar.

Jarak antara Dundee dengan bandar – bandar besar seperti Aberdeen – 67 batu mengambil masa 1 jam 31 minit, Edinburgh – 60 batu mengambil masa 1 jam 10 minit, Glasgow – 85 batu mengambil masa 1 jam 40 minit, Birmingham – 371 batu mengambil masa 6 jam 27 minit, Hull – 315 batu mengambil masa 6 jam 20 minit, Manchester – 292 batu mengambil masa 5 jam 9 minit dan London – 486 batu mengambil masa 8 jam 32 minit.

Peta United Kingdom dengan bandar – bandar besarnya

Dundee merupakan bandar yang menerima cahaya Matahari paling banyak dibandingkan dengan bandar – bandar Scotland dan kawasan hijau yang menawarkan kehidupan berkualiti yang tiada tandingannya. Menawarkan pelbagai flora yang boleh menarik perhatian mereka, dengan populasi flora sebanyak 640,000 jika memandu berulang – alik dalam masa 60 minit.

Industri yang bertumbuh pesat termasuk bioteknologi, media digital dan juga perkhidmatan pelanggan. Dengan jumlah seramai 4000 orang saintis, berasal daripada 52 buah negara, yang bekerja di sini terutama di Universiti Dundee, menjalankan pelbagai kajian yang signifikan seperti dalam bidang diabetes, kanser dan neurosains.

Merupakan nadi media digital, hebat dalam industri permainan komputer dan video yang mana separuh daripada firma permainan komputer dan video Orang Scotland ini berpangkalan di Dundee. Bandar ini telah menghasilkan komuniti pereka cipta muda permainan komputer dan video yang mana ramainya menuntut di Universiti Abertay Dundee.




Dengan dua universiti yang boleh dibanggakan – Universiti Abertay Dundee dan Universiti Dundee, yang merupakan pusat pengajian peringkat lepas tinggi dan juga pusat latihan perguruan dan pendidikan. Dundee adalah bandar penuntut bagi Scotland yang mana kebanyakannnya mengikuti pengajian secara sepenuh masa dengan nisbah 1 : 7 dengan penduduk di sini, jika dibandingkan dengan bandar – bandar yang lain. Dengan pertumbuhan pesat beberapa syarikat yang terlibat dengan teknologi, ini membentuk hubungan kuat antara bidang akademik dan industri.


Terdapat satu pusat pendidikan akademi Islam dan Bahasa Arab yang dipanggil sebagai Institut Al-Maktoum yang mempromosi bidang akademi yang cemerlang beserta menyumbang kepada komuniti ke arah kefahaman lebih memahami Islam, menjadi sebahagian daripada integrasi Bandar Dundee dan komunitinya. Ia juga mempromosi Dundee sebagai pusat kecemerlangan dalam pengajian Bahasa Arab dan Islam. Institut ini aktif melahirkan bakal – bakal sarjana dan cendekiawan – sama ada dalam Scotland atau United Kingdom atau sarjana pada peringkat antarabangsa – dalam bidang Pengajian Islam.


Kolej Dundee juga merupakan salah satu institusi pendidikan terbesar, dengan penuntutnya mencecah seramai 20,00 orang. Ia menawarkan kursus- kusrsus seperti pengurusan perniagaan, teknologi elektronik dan mekanikal, pembinaan dan kejuruteraan, teknologi maklumat, media dan pelancongan.

Dundee juga merupakan pusat untuk Kesenian dan Kebudayaan. Sebahagian besar tempat lawatan merupakan pemenang anugerah seperti Pusat Kesenian Kontemporari Dundee, Teater Rep Dundee dan Pusat Sains “Sensation” dan juga terdapat banyak restoran dan kafe.

Dundee mempunyai kemudahan sukan yang bertaraf antarabangsa seperti pusat sukan antarabangsa, arena ais dan dua pasukan bola sepak dalam liga Scotland iaitu Dundee United dan Dundee FC.

Selain itu, Dundee juga menawarkan pelbagai tarikan seperti teater, museum, galeri, pusat membeli belah, dan kawasan yang mempunyai pelbagai barangan peruncitan. Terdapat banyak sekali kemudahan – kemudahan santai dan Dundee merupakan pusat utama sukan golf, terdapat beberapa lapangan sukan golf yang popular seperti Lapangan Golf St Andrews, yang hanya terletak di seberang sungai Tay.

Dari segi kemudahan kesihatan, terdapat GP (‘General Practioner’) atau di Malaysia kita panggil sebagai klinik kesihatan, yang mana satu bagi setiap kawasan mukim. Selain itu ia mempunyai sebuah hospital iaitu Hospital Ninewells yang mana ia bertaraf antarabangsa yang mana merupakan antara hospital yang dilengkapi dengan peralatan perubatan tercanggih di Scotland ini dikendalikan oleh NHS Tayside, UK.

Kos kehidupan di Dundee dikatakan lebih murah berbanding bandar – bandar Scotland yang lain dan secara purata 16 peratus lebih murah berbanding tempat – tempat lain di United Kingdom.

Bersambung bahagian 2 untuk 'Tempat - tempat Tarikan Pelancong Sekitar Dundee

Pautan berkait :
Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 2)

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 3)

Thursday, 10 June 2010

MEMBIASAKAN ANAK ADAB ISLAM DALAM KEHIDUPAN SEHARI-HARI

Kali ini penulis ingin berkongsi mengenai adab dan tatacara kehidupan Islam yang boleh diajar pada anak, diterap agar menjadi kebiasaan anak – anak. Ini hanya merupakan panduan dan kita berusaha untuk cuba mencorak anak kita dengan sebaik mungkin. Usaha itu penting dan kemudian kita berdoa agar anak – anak kita menjadi seorang anak yang baik budi pekertinya, Insyaallah.


1. TATA CARA MAKAN DAN MINUM :
a. Membaca bismillah
b. Menggunakan tangan kanan
c. Tidak berlebih-lebihan
d. Mengambil yang dekat
e. Tidak boleh berebut
f. Menghabiskan makanan yang dimakan dan tidak membazir
g. Menyudahi dengan membaca Alhamdulillah
h. Mencuci tangan sebelum dan sesudah makan
i. Mengemas dan membersihkan peralatan yang digunakan semasa makan
j. Tidak mencela ataupun menghina makanan


2. TATA CARA BERPAKAIAN :
a. Menggunakan pakaian yang bersih
b. Membaca bismillah
c. Mengenakan pakaian mulai dari bahagian kanan
d. Melepas pakaian mulai dari bahagian kiri
e. Meletakkan dan menyusunatur pakaian pada tempatnya
f. Pakaian harus menutup aurat
g. Untuk wanita pakaian tidak boleh tembus pandang atau menjolok mata


3. TATA CARA KELUAR-MASUK :
a. Mengucap salam kepada penghuni rumah
b. Masuk rumah dengan kaki kanan
c. Membaca doa ketika masuk rumah
d. Keluar rumah mendahulukan dengan kaki kiri
e. Berdoa ketika hendak pergi
f. Bersalaman kepada penghuni rumah
g. Mengucap salam ketika meninggalkan rumah


4. TATA CARA TIDUR :
a. Mencuci kaki dan tangan sebelum tidur atau mengambil wudhuk
b. Berdoa sebelum tidur
c. Menyusun atur tempat tidur
d. Berbaring diatas lambung kanan
e. Tidak menelungkup
f. Mengenakan pakaian agar tidak terbuka auratnya
g. Bila mimpi buruk, membaca Istighfar
h. Bila mimpi baik, membaca Alhamdulillah
i. Berdoa ketika bangun tidur
j. Mengemaskan kembali tempat tidur


5. TATA CARA MANDI :
a. Masuk bilik air atau tandas dengan kaki kiri
b. Membaca doa ketika masuk bilik air atau tandas
c. Membersihkan bahagian sulit secara merata
d. Tidak boros menggunakan air
e. Tidak Nyanyi-nyanyi
f. Menutup aurat ketika keluar bilik air atau tandas
g. Keluar dari bilik air atau tandas dengan kaki kanan
h. Doa ketika keluar bilik air atau tandas


6. TATA CARA BERTAMU :
a. Mengucapkan salam kepada tuan rumah
b. Tidak masuk rumah sebelum dipersilakan
c. Tidak mengintip ke dalam rumah
d. Tidak berdiri di depan pintu
e. Tidak boleh duduk dulu sekira tuan rumah tidak mempersilakan
f. Tidak berkata yang tidak baik terhadap tuan rumah
g. Sebelum pulang minta izin terlebih dahulu
h. Sebelum meninggalkan tuan rumah ucapkan salam
i. Jangan mencela makanan yang dihidangkan tuan rumah


7. ADAB DENGAN ORANG TUA :
a. Bertemu mengucapkan salam
b. Minta izin apabila keluar dari rumah
c. Minta maaf apabila melakukan kesalahan
d. Menyahut panggilannya
e. Segera mengerjakan apa yang diperintahkan selama tidak untuk dosa
dan maksiat dan meninggalkan apa yang dilarangnya
f. Berbicara dengan suara rendah dan lembut
g. Menjaga nama baik mereka dengan berbuat baik
h. Mendoakannya agar mendapat ampunan Allah
i. Menghormati teman dan tetamu mereka
j. Membantunya dalam mengerjakan pekerjaan rumah
k. Tidak membantah dengan keras dan kasar serta tidak memukulnya
l. Berterima kasih ketika diberikan wang/hadiah dan menggunakannya dengan baik
m. Tidak mencela apa yang telah diberikannya


8. ADAB DENGAN GURU :
a. Bertemu mengucapkan salam
b. Menyapanya dengan baik dan sopan
c. Berbicara dengan suara rendah dan lembut
d. Memperhatikan apabila dia memberikan pelajaran
e. Mengerjakan tugas yang diperintahkannya
f. Minta izin apabila ingin meninggalkan kelas
g. Mengetahui namanya
h. Segera mengerjakan apa yang diperintahkan selama tidak untuk dosa
dan maksiat serta meninggalkan apa yang dilarangnya
i. Tidak membantah dengan keras dan kasar serta tidak memukulnya
j. Berterima kasih terhadap ilmu yang diberikannya dan mengamalkannya
k. Mendoakan semua yang menjadi guru kita
l. Menghormati mereka dan keluarga mereka

Kita sebagai ibu bapa ingin memberikan segala apa yang terbaik untuk anak kita. Yang penting kita mendidik, menjalankan amanah dan melengkapkan anak kita dengan segala ilmu dan akhlak yang memandunya ke arah yang kehidupan yang diredhai dan diberkati. Insyaallah.