Friday 26 March 2010

TEKANAN ATAU STRES – DEFINISI DAN KAEDAH MENANGANINYA

Jangan biarkan hidup sentiasa diselubungi tekanan.


Kehidupan penuh dengan pelbagai perkara sama ada baik atau buruk, positif atau negatif. Itu semua merupakan asam garam kehidupan. Tanpa tekanan kehidupan kita pasti tidak bermakna. Ramai orang yang cuba untuk tidak meletakkan diri mereka dalam keadaan tertekan. Tekanan tidak diminta kerana ia datang tanpa diundang. Tekanan boleh mematangkan pemikiran yang pasti mencetus tindakan yang akan mewarnai kehidupan dijadikan sebagai pengalaman.

Dalam Islam, tekanan ataupun boleh dikatakan kesenangan dan kesusahan merupakan ujian Allah yang semata – mata untuk menguji ketakwaan hambaNya.

Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani ujian sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156, maksudnya :
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Hakikatnya, tekanan adalah perkara lumrah selagi kita bergelar manusia. Ujian yang mendatang sama ada dalam bentuk yang kita suka atau sebaliknya ada kalanya menjadikan seseorang itu lebih kuat atau jika tidak ditangani dengan baik mungkin sesuatu yang lebih mudarat boleh berlaku. Ini semua bergantung kepada individu itu bagaimana penerimaannya. Tekanan boleh membantu atau mungkin juga memberi kemudaratan dalam kehidupan.

STRES - DEFINISI

Stress adalah istilah yang merangkumi tekanan, beban, konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, kebimbangan, kemurungan dan hilang daya.

Gejala stres ini terhasil apabila seseorang itu merasa yang keperluan melebihi dari keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.

Perasaan berkemampuan dan berkesan adalah mustahak pada seseorang individu. Menyedari yang diri adalah cekap dan efektif (dalam mencapai apa yang dihajati dan melaksanakan segala tanggungjawabnya) adalah prasyarat penting pada kebanyakan individu dalam penerimaan diri, nilai diri yang positif dan kesejahteraan hidupnya. Jika kepentingan ini terlampau kuat dalam diri seseorang itu, maka ia akan lebih cenderung kepada stres yang dicipta dalam dirinya sendiri.

Faktor persepsi adalah penting dalam mengkategorikan sesuatu perkara itu perkara positif atau negatif. Kerap kali apa yang dianggap racun kepada seseorang itu adalah madu pada orang lain. Sesuatu rangsangan luaran yang identikal itu boleh menghasilkan pengamatan yang berbeza di antara dua individu yang berlainan dan seterusnya menghasilkan tindakbalas yang berbeza. Sebab itu lah ada orang yang cepat merebut peluang kerana dia dapat melihat itu sebagai pembukaan kepada kejayaan, dan disebaliknya ada orang yang membiarkan peluang yang sama berlalu kerana ia melihatnya sebagai punca kepada kerugian atau kegagalan.

Berdasarkan definisi di atas, boleh dikatakan bahawa semua perkara yang datang kepada kita adalah tekanan ataupun stres. Bergantung kepada darjah tekanan itu, bergantung kepada individu untuk menerimanya sebagai perkara positif ataupun negatif.

Stres yang diterima dengan berlapang dada pasti menjadikannya ia sebagai perkara yang positif yang menzahirkan tindakan atau tingkahlaku yang positif. Stres yang diterima dengan tidak sepenuh hati dan dianggap sebagai perkara yang negatif akan melahirkan tindakan yang negatif.

Dengan mengambil contoh, dalam menerima tugas dalam kerja. Jika individu itu mengganggap tugasan itu sebagai satu tanggungjawab (positif) yang perlu dilaksanakan, ia akan melahirkan tindakan yang bersungguh – sungguh untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Ditambah dengan kemahiran, ilmu yang sedia ada dan sumber – sumber yang boleh diperolehi dan sedia ada bagi melaksana dan menyelesaikan tugasan itu.

Jika individu mengganggap tugasan itu sebagai satu beban (negatif), ia akan melahirkan tindakan yang tidak menunjukkan usaha yang bersungguh – sungguh dan untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Dengan tiada kemahiran dan ilmu yang mencukupi dalam membantu menyelesaikan tugasan itu.

Namun jika individu merupakan seorang individu yang berfikiran positif, tugasan yang pada mulanya yang dianggap perkara negatif boleh ditukarkan menjadi suatu perkara yang positif dengan berusaha mencari jalan dan cara untuk mendapatkan sumber – sumber yang diperlukan bagi tugasan tersebut.

PUNCA STRES

# Terlalu inginkan kemenangan
# Bersikap terlalu mementingkan kesempurnaan
# Sifat terlalu mengharapkan yang terbaik
# Suka mendesak
# Risau keterlaluan
# Tidak mahu menerima teguran
# Berprasangka buruk dan berdendam.
# Cemburu dengan kejayaan orang lain
# Kerja yang membosankan, tekanan pekerjaan
# Masalah kewangan
# dan pelbagai sebab lagi bergantung kepada bagaimana seseorang itu melihat sesuatu keadaan.

STRES MENUNJUKKAN PERUBAHAN

# Perubahan emosi seperti cepat marah, mudah menangis dan sentiasa bersedih, kecewa, hampa, murung, gelisah, kelesuan, ketakutan, mudah mengamuk
# Sentiasa rasa bersalah
# Suka termenung
# Prestasi merosot
# Kekeringan idea
# Hilang tumpuan
# Sukar tidur
# Hilang selera makan.

Stres perlu ditangani dengan bijak. Jika tidak boleh dihilangkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat mengawal perasaan tersebut agar tidak terus mengganggu kehidupan seharian.

Cabaran hidup sekarang mendedahkan setiap individu kepada pelbagai bentuk tekanan dan cara menghadapinya banyak bergantung kepada ketahanan diri. Mereka yang berjaya menangani tekanan akan berjaya menguruskan diri dengan baik.

Ada sebilangan besar masyarakat meleraikan kekusutan jiwa tanpa pertimbangan akal sihat dan panduan agama. Contoh bersukaria, menikmati muzik, berkaraoke, menari dan mengambil ubat penenang. Ketenteraman yang diperoleh cara demikian sesungguhnya tak lebih hanyalah bersifat sementara dan sekadar anggapan belaka.

Namun, tidak kurang yang terjebak dalam perkara negatif yang lebih berat kerana gagal menangani tekanan seperti bergantung hidup kepada merokok, minum arak dan pengaruh dadah, membiarkan diri tidak terurus serta meneruskan hidup dalam tekanan. Lebih berat lagi ada yang sanggup membunuh diri.

bersambung.... kaedah menangani stres

7 comments:

  1. Asslmualaikum ada dari article anda yang saya buat rujukan utk tajuk assgment saya...
    jadi mohon share sedikit ilmu dari anda...

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum....mohon dijadikan sumber assignment ye...

    ReplyDelete
  3. Lengkap huraian mengenai tekanan.Thanks.

    ReplyDelete
  4. Boleh saya tahu nama penuh penulis blog ni? Untuk buat rujukan.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum. Mohon dijadikan buku skrap. Tq

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum. Mohon dijadikan buku skrap. Tq

    ReplyDelete